Pada tanggal 16 Mei setiap tahun telah diistiharkan sebagai Hari Guru. Semua guru tidak kira bangsa dan agama di seluruh negara akan meraikannya dengan pelbagai aktiviti.
Sebenarnya bila tiba tanggal ini ia akan memperingatkan aku kepada arwah adik bongsu ku. Ini kerana pada tanggal inilah pada usia baru hendak mencecah angka 17 tahun beliau telah kembali ke rahmatullah. Sesungguhnya Allah SWT lebih menyayanginya sebab itu beliau dipanggil untuk menemuiNya terlebih dahulu. Al Fatihah untuk adinda kesayanganku yang lebih dikenali sebagai Haji PE dikalangan keluarga dan sahabat-sahabatnya. Semoga adinda ku aman, tenteram dan berbahagia di sana. Sebenarnya aku berat hati betul untuk menyentuh hal ini kerana suasana sedih di atas pemergian anak saudaraku masih lagi terasa. Tarikh mereka ini berdekatan sangat.
Pada semua guru-guru (baik yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia ) yang pernah berusaha dan berkorban untuk diriku ini, aku ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka semua. Sesungguhnya jasa cikgu-cikgu semua tidak terbalas oleh saya. Banyak sangat jasa cikgu semua ke atas saya sehingga menjadikan saya berjaya pada masa kini. Jutaan keampuanan dan jua kemaafan kupohonkan daripada guruku semua di atas segala dosa-dosaku semasa mengajarku dahulu. Sesungguhnya aku tahu kenakalanku, kedegilanku, kebiadapanku, kelancangan, perlakuanku pastinya mengguris hati cikgu-cikgu semua. Maafkan saya cikgu dan redhakan serta halalkan ilmu yang cikgu-cikgu semua sampaikan kepada saya selama ini.
Buat guru-guruku yang telah mengadap Ilahi. Aku berdoa semoga guru-guruku semua ditempatkan bersama-sama mereka yang beramal soleh dan beriman kepadaNya. Amin..Al fatihah untuk mereka semua yang telah pergi itu.
Begitu juga kepada guru-guru yang telah mendidik anak-anakku, aku ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada mereka. TERIMA KASIH CIKGU kerana mendidik anak-anak saya dengan baik. Dan didiklah anak-anak saya seperti cikgu-cikgu mendidik anak sendiri. Bimbinglah mereka sebaiknya. Marahlah mereka, cubitlah mereka, pukullah mereka jika ianya bertujuan untuk mendidik dan membimbing mereka. Saya tahu tanggungjawab anda semua sangat berat. Cuma mereka yang pernah dipanggil cikgu akan dapat memahami perasaan seorang guru.
Bagi pihak anak-anak saya, saya ingin memohon jutaan kemaafan dan keampunan atas dosa, kesalahan dan perlakuan yang telah mereka lakukan. Diharap cikgu-cikgu semua tidak bosan untuk terus membimbing dan mendidik anak-anak saya untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Insya Allah. Amin.
Sekali lagi SELAMAT HARI GURU untuk semua. Semoga ada semua memperolehi kebahagiaan dunia dan akhirat jua. Amin.















