The 27 and The 44


Number?Nombor? saya tidak tahu nama yang sesuai untuk diberikan pada blog ini. Tetiba saya teringatkan nombor rumah saya dan nombor rumah emak mertua saya. Terlintas difikiran saya menamakan blog ini dengan nombor-nombor rumah tersebut. Kenapa?
Ini kerana saya menghuni di kedua-dua buah rumah tersebut.

Setelah berkahwin dan mengikut suami yang merupakan anak tempatan di Taman Negara ini, sejak mula saya telah duduk di rumah emak mertua saya yang bernombor 44. Beberapa tahun kemudian, saya dan suami telah membeli sebuah rumah di bandar Jerantut di mana nombor rumah tersebut ialah 27.

Pada hari bekerja saya dan keluarga akan duduk di rumah emak mertua. Maklumlah rumah emak mertua cuma 5km sahaja dari tempat kerja saya dan suami. Manakala pada hujung minggu dan hari cuti jika saya dan suami tidak ada kerja tambahan atau sibuk kami akan balik ke rumah di bandar Jerantut.

Bila difikir-fikirkan agak lucu juga rutin hidup kami ini. Apa tidaknya, kebanyakkan orang akan balik ke kampung bila tiba hujung minggu atau musim cuti. Tetapi berlainan pula saya dan keluarga, bila musim cuti kami akan balik ke bandar untuk duduk di bandar buat seketika sahaja.

Pada mulanya agak meletihkan juga, apa tidaknya rumah di bandar pada ketika itu belum mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Misalnya ketika belum mempunyai mesin basuh pakaian, saya terpaksa mengumpulkan pakaian untuk dibasuh bila balik ke rumah nombor 44 nanti. Mengimbas kembali rutin tersebut amat memenatkan dan meletihkan.

Tetapi kini, alhamdulillah sedikit demi sedikit saya bersama suami cuba menambahkan keperluan dan kelengkapan sehingga sekarang saya tidak perlu mengumpulkan pakaian yang berhari-hari untuk dibawa balik ke kampung untuk dicuci di sana pula.

Anak-anak pun mula suka bila diajak balik ke rumah di bandar kerana di sana semuanya ada. Mereka akan marah-marah jika kami hanya balik untuk seketika sahaja. Sebenarnya rumah tersebut belumlah selengkap mana. Cuma peralatan asas seperti dapur memasak, peti sejuk, mesin basuh, perabot lain seperti kerusi/meja makan dan sofa serta astro dan televisyen serta katil dan tilam bantal itu semua telah membuatkan kami selesa untuk singgah dan bermalam di rumah tersebut.

Pada ketika ini saya dan keluarga belum dapat untuk menduduki rumah ini sepenuhnya kerana suami saya mempunyai tugas dan tanggungjawab di tempat kerjanya yang kadang-kadang membuatkan dia pulang pada lewat tengah malam. Keadaan seperti amat sukar untuk kami berulang-alik dari bandar ke Taman Negara setiap hari.

Kos pengangkutan sekarang ini amat mahal. Jadi adalah langkah yang baik bila kami mengambil keputusan untuk duduk bersama emak mertua saya. Ini ditambah lagi dengan usia beliau yang semakin lanjut, ada baiknya kami di sini untuk menemani dan memerhatikan beliau.

Saya tahu jika kami berpindah terus ke bandar, emak akan merasa sangat sedih. Apa tidaknya, emak sangat rapat dengan cucunya yang dua orang itu; adik dan kakak yang merupakan cucu 'baik'nye.

0 comments:



Post a Comment